Tuesday 17 March 2015

PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK PERMATA HATI

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Ya Allah, syukur kerana diberi kesempatan lagi untuk menulis di blog yang sudah lama terbiar sepi ini.  Rindu sungguh nak mengetuk keyboard lagi untuk berceloteh.

Ok..jom kita berborak-borak tentang pendidikan awal anak-anak kita.  Rasanya topik ni tak ada orang yang tak nak komen kan.  Masing-masing mesti pernah hadapi masalah dalam pendidikan anak-anak di peringkat awal.  Kak Yus percaya ramai ibu-ibu, tak kurang juga bapa-bapa yang runsing dan sering pening kepala apabila memperkatakan bab ni apatah lagi dalam mencari pendekatan untuk mengajar anak-anak yang di awal usia ni.

Anak-anak umpama kain putih, kita yang melakarkan corak apa yang kita hendak.  Acuannya adalah kita.  Selalukan kita dengar ayat-ayat tu.  Memang tepat dan ada benarnya.  Kadang-kadang, apabila anak dah memasuki alam persekolahan tetapi masih gagal menguasai teknik menulis, masih tidak mampu membaca dan jauh ketinggalan, kita salahkan anak-anak.  Kita kata anak-anak kita lembab (ada juga yg sebegini), kita marah anak-anak kononnya tak fokus.  Asyik main-main.  Kita lupa ungkapan yang selalu kita dengar tu.  Kita lupa bahawa guru pertama bagi anak-anak kita adalah diri kita sebagai ibu bapa.



Umur 1-3 tahun

Gambar hiasan ---ihsan mr. google

Ketika anak-anak berada pada usia ini, keinginan untuk mengetahui dan mengenali apa yang mereka lihat sangat tinggi.  Nampak kucing melintas depan mereka pun kalau boleh nak kejar, mereka kejar.  Jadi informasi yang jelas dan tepat sangat perlu dalam mendidik mereka tapi perlu ingat.. jelas .. tepat tetapi mudah.  

Pada usia begini, lebihkan kepada perbendaharaan kata (vocabulary) terutama mengenalkan mereka kepada benda yang berada di sekeliling mereka.  Paling penting, ajar anak-anak untuk mengenali bahagian tubuh badan mereka dan kegunaannya.  Kalau mampu, ajar dalam banyak bahasa.  Ini satu permulaan yang baik untuk mengajar bahasa.  Apabila kita ajar mereka.. lakukan action sekali.  Jika ajar kepala, letak tangan atas kepala.  Lebih cantik kalau boleh lakukan sambil menari ke.  Anak-anak akan lebih happy semasa sesi pembelajaran tu.

Pada usia 2 hingga 3 tahun, dah boleh latih anak memegang pensel.  Untuk menarik minat mereka, gunakan pensel warna.  Pada usia begini, pensel warna yang lebih besar sangat digalakkan.  Kenapa k.yus galakkan guna pensel warna?  Anak-anak usia begini lebih tertarik kepada barang-barang yang berwarna warni.  Nak beli buku-buku coloring pun boleh, tapi kalau rajin, ajak anak-anak melukis sendiri.  Sediakan drawing block atau banyak kertas A4 utk mereka (abaikan perasaan: huh..ruginya banyak kertas dibazirkan... mmg worth lebih drp tu hasilnya)


Bab coloring book tu, kalau kita ada internet dan printer, lebih jimat print sahaja gambar2 daripada internet.  Banyak link untuk download pictures for coloring daripada dunia maya tu.  Boleh ke kedai, binding dan hias sikit2 bagi comel dan menaikkan semangat anak-anak.

Ni coloring book yang Kak Yus buat sendiri... download gambar dr Mr. Google je...



Aktiviti-aktiviti sebegini membina daya imaginasi dan kreativiti anak-anak.  Kita akan terkejut pabila suatu hari anak akan tunjukkan sesuatu yang amazing hasil daripada jemari kecil mereka.



Umur 4-5 Tahun


                                                 Gambar hiasan ---ihsan mr. google

Apabila anak-anak sudah mula menginjak ke usia begini, kita sebagai ibu bapa mula mengintai-intai tadika yang baik untuk pendidikan formal anak-anak kita. Kalau cerita pasal tadika.. hmmm.. tiga hari dua malam pun tak habis.

Kak Yus sendiri menghantar anak-anak ke tadika seawal usia 4 tahun.  Sebenarnya, ia lebih kepada Sosial Interaction Development (perkembangan skil interaksi) dengan rakan-rakan sebaya.  Iyalah, kalau duduk kat rumah je.. kawan tak ramai.  Hari-hari bergaul dengan adik beradik sendiri je.  Pada waktu begini, Kak Yus tak mengharapkan sangat anak-anak Kak Yus diajar selengkapnya oleh guru-guru.  Alasan Kak Yus:  sesi pengajaran dan pembelajaran seharusnya bermula daripada Kak Yus.  So, memang anak-anak Kak Yus belajar ABC sehinggalah membaca dengan Kak Yus sendiri.


Ni gambar Aysha Safiyyah sewaktu berusia 4 tahun.. 

Pada usia 4 tahun, adalah penting kita develop skil menulis anak-anak.  Pastikan mereka memegang pensel dengan cara yang betul.  Ini membantu mereka menulis dengan baik.  Ramai anak-anak yang telah memasuki alam persekolahan gagal menulis dengan cepat kerana cara menulis dan cara memegang pensel yang salah.

Anak-anak juga harus diajar untuk mengenal huruf dan nombor.  Adalah lebih cantik jika dapat mengenalkan anak-anak dengan huruf jawi juga.  Kalau nak hantar anak-anak untuk pengajian Iqra' juga sangat bagus.  Pada pendapat Kak Yus (secara peribadi), anak yang belajar Iqra' awal akan mudah membaca.  InsyaAllah.

Pada usia ini, pastikan anak-anak mempunyai perbendaharaan kata yang banyak.  Seelok-eloknya ajar anak 10 hingga 20 perkataan baru setiap hari.  Flashcard memang digalakkan.


Gambar hiasan -- ihsan mr. google


Apabila usia anak memasuki 5 tahun, skil memegang pensel sudah mantap.  Mewarna pun sudah cantik, tidak lagi tinggal ruang-ruang putih atau bersepah-sepah baki warna di luar garisan.  Kalau dapat yang mampu mewarna dengan pekat dan teliti, itu sudah hebat!!!  Paling penting, anak-anak sudah mengenal huruf dan nombor serta tahu turutan setiap huruf dan nombor tersebut.  Perlu kita ingat, hafal sahaja belum dikira mengenal ye.  

Apa yang perlu kita tumpukan adalah skill membaca dan menulis mereka pula.  Kenalkan anak-anak dengan huruf-huruf vokal dan konsonan.  Kenalkan mereka dengan runut bunyi setiap huruf.  Kita boleh mengajar anak mengikut cara lama iaitu mengeja.. tapi kita harus faham jika anak-anak mengeja sepanjang masa proses membaca, kepantasan mereka membaca akan terganggu.  Oleh sebab itu, Kak Yus lebih suka menggunakan pendekatan phonic.  Lebih pantas, tapi mengeja juga harus terus dilakukan, mungkin melalui aktiviti mari main mengeja atau di dalam kereta.

Melalui pemerhatiaan dan kajian Kak Yus terhadap penerimaan dan cara kanak-kanak belajar, Kak Yus percaya cara ini lebih praktikal.  Kak Yus bermula dengan anak sulung Kak Yus, Bella, ketika beliau berusia 3 tahun.  Pada usia 4 tahun Bella sudah pandai membaca.  Namun harus diingat, ia bukan magic atau kerja mudah.  Ia perlukan ketabahan dan kesabaran serta air mata yang berbaldi-baldi juga ye.

Mengenal bunyi huruf.  Anak-anak akan lebih cepat membaca jika mereka kenal bunyi huruf dan bunyi suku kata.  Ini contoh2 yang Kak Yus buat sendiri berdasarkan pemerhatian Kak Yus selama 12 tahun bersama anak-anak sendiri dan anak-anak didik.





Dua gambar di atas ni adalah modul Asas Huruf yang kak yus develop untuk anak-anak Kak Yus dan anak-anak yang belajar di rumah Kak Yus.


Kita beralih kepada menulis pula.

Kadang-kadang guru tadika anak-anak kita menyuruh anak-anak kita membuat latihan menulis melalui titik-titik halus.  Menulis mengikut titik-titik tersebut hingga terbentuk huruf yang dikehendaki.  Sebenarnya, cara itu memang tak salah.  Elok dipraktikkan ketika usia 4 tahun lagi.  Namun harus ada timbal balas.  Selepas anak mahir mengikut titik-titik tersebut, biarkan pula mereka menulis huruf yang sama tanpa titik.  INGAT, JANGAN PEGANG TANGAN ANAK KITA jika mereka tak tahu menulis.  Nanti anak-anak jadi manja dan malas.  Sebaliknya, cara yang lebih baik.. ambil sehelai kertas kosong, lukiskan satu titik untuk anak, satu titik lagi untuk kita.  Arahkan anak letak pensel pada titik tersebut dan kita sendiri pun letak pensel pada titik kita juga.  Ajak anak menulis mengikut gerak jari kita di samping mulut kita memberi arahan.  Kebawah, ke kiri, ke atas, ke kanan dan sebagainya.  Lakukan berulang kali.  Awal-awal agak sukar, tapi insyaAllah, hasilnya memuaskan.

Di penghujung usia 5 tahun, anak-anak seharusnya sudah mampu membaca suku kata mudah kv + kv (konsonan vokal + konsonan vokal) contoh:  baju, satu, lima, baru, bola dan sebagainya.  Anak-anak juga seharusnya sudah tahu turutan huruf dan nombor.  Malah ketika ini, anak-anak seharusnya sudah boleh menulis dengan baik.




Dua gambar di atas ini pula Modul 2 Kak Yus -- Siri Adik Pintar Membaca 1



Usia 6 Tahun


Aysha Safiyyah @ 6 yrs -- Pra Sekolah


Pada usia 6 tahun ini, banyak yang kita perlu lakukan dalam pendidikan mereka.  Sistem pendidikan yang semakin mencabar hari ini memerlukan kita lebih peka dengan perkembangan anak-anak pada usia ini.  Anak-anak sudah perlu diajar untuk fasih membaca dan mula menguasai bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris dan matematik.  

Kemahiran menulis dan melukis pada usia ini seharusnya tidak lagi menjadi masalah.  Malah, ia sudah sepatutnya semakin mantap.  Anak-anak harus diajar membaca suku kata-suku kata lebih kompleks; diftong, -ng, awalan ng, gabungan, berimbuhan dan sebagainya.  

Jika ditanya kepada Kak Yus teknik mengajar anak lebih mudah.. bagi kak yus tak ada apa yang mudah melainkan kita sentiasa sabar dan konsisten dalam mengajar anak-anak.  Jangan pernah penat dengan mereka.  

Tadi kita membicarakan pembelajaran membaca Bahasa Melayu.  Jangan lupa, Bahasa Inggeris juga penting ye.  Anak-anak harus diperkenalkan dengan sebanyak boleh vocab pada waktu ini.  Ada orang suka menggunakan buku-buku bacaan ringkas seperti siri Ladybug -- Peter And Jane dalam mengajar anak-anak mereka.  Bagi Kak Yus pula, Kak Yus lebih suka menggunakan kaedah Phonic juga.  Sistem yang digunapakai oleh Smart Reader, Mikids dan byk lagi di luar sana,  pada Kak Yus agak praktikal.  Anak-anak diajar sekali lagi mengenal bunyi huruf dan suku kata.  Perlu diingatkan, jangan hanya ajar vocab sahaja tanpa tahu maksud ye.

Contoh----->>> kenal kan bunya a (short vowel) seperti dalam apple.
-------------->>> gabungan huruf  'a' dan 'b' --->>ab -- spt dalam  'cab' 'jab' 
-------------->>> gabung ea --- spt dalam 'tea', 'sea', 'pea'

Sebenarnya, kalau nak belajar melalui buku2 yang ada dijual pun boleh, kalau rajin kita buat sendiri pun boleh cuma ambil mana yang agak lama dan kena ada initiatif serta kesabaran yang tinggi lah.



Matematik juga sekarang ini sudah termasuk dalam LINUS.  Maka seharusnya kita berikan perhatian dalam subjek ini.  Sekurang-kurangnya pada usia begini, anak kita sudah boleh mengenal nombor, urutan nombor 1 - 10, sudah mampu mengira secara menurun dan menaik.  Sudah boleh membuat kira-kira tolak dan tambah mudah.


Selain daripada itu, pada usia 6 tahun ini.. anak-anak sudah sepatutnya diajar surah-surah lazim yang mudah seperti Al-Fatihah, 4 Qul serta doa-doa dan bacaan dalam solat.  Didikan untuk mendirikan solat juga sudah sepatutnya dilakukan.  Ini bagi yang beragama Islam.  

Kak Yus percaya... anak-anak yang didekatkan dengan kalam Allah akan mudah belajar.





Modul 3 Kak Yus --- Siri Adik Pintar Membaca 2



Errr.. susah eh???

Dengan komitmen dan konsistensi yang kita berikan, insyaAllah.. semuanya akan menjadi mudah. Andai kata anak sahabat-sahabat Kak Yus masih belum mencapai tahap seperti yang Kak Yus gambarkan, janganlah terlalu risau.  Masih tidak terlalu lambat untuk kalian didik mereka.  Yang penting, mesti bermula daripada sekarang. Kalau ada sahabat2 yang memerlukan bantuan Kak Yus, insyaAllah boleh add Kak Yus di facebook@Yusnida Tajudin dan pm Kak Yus ye.  Kak Yus tak la pandai sangat, cuma belajar daripada pengalaman bersama anak-anak.  Membesar dan study bersama-sama mereka....

Sampai di sini dahulu.. sehingga kita bertemu lagi.


Sayang sokmo;

Yusnida Tajudin
17 Mac 2015


Saturday 12 July 2014

Sesekali Bergelar Minah Rempit...




Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Lama sungguh tak lepak-lepak kat sini.  Semak samun dah sama tinggi dengan atap rumah rupanya.  Tahun ni merupakan tahun yang agak sibuk buat kak yus.  Bukanlah sibuk menulis sangat, tapi lebih kepada sibuk dengan urusan anak-anak dan persekolahan mereka.  Tahun ni anak ke-2 kak yus akan menduduki peperiksaan UPSR & UPSRA.  Katanya nak ikut jejak langkah kakak Bella, jadi haruslah kena dapat result yang sama atau lebih baik.  Itulah susahnya bergelar perempuan... peluang agak terhad kerana saingan lebih hebat untuk masuk ke mana-mana sekolah yang bagus.  Jadi ibunya pun kena kerja keras juga apatah lagi tahun ni amanah yang kak yus pikul juga semakin tinggi.. ada 12 org lagi anak UPSR yang harus kak yus pantau dan didik.  Doakan anak-anak kak yus ni cemerlang ye.

Okey.. sebenarnya hari ni kak yus nak bercerita mengenai pengalaman kak yus merempit di bandaraya Kuala Lumpur ni.  Opppssss.. bukanlah kak yus jadi ridernya, hanya pembonceng aje.  Nak ride?? Huh.. memang tak ado.. tak pandai langsung.  Setakat drive boleh ler.. alasan tak pandai bawa motor ialah tak lain dan tak bukan tak cukup inci, kaki tak sampai nak jejak ke jalan... hehehe

Jujurnya, kak yus memang jarang sangat ride dengan suami kak yus.  Kalau dekat-dekat tu adalah sekali dua sebab selalunya kami akan keluar sekeluarga jika ke mana-mana.  Tapi tahun ni memang agak kerap merempit sebab anak-anak dah mula tak nak ikut ibu dan ayah keluar.  Hehehe.. memang syiok la kan sebab lenggang kangkung tak payah nak pening kepala dengan perangai anak-anak.

Hari ni, merempit sekali lagi dengan suami masuk ke Jalan TAR.  MasyaAllah... ramainya umat.  Kenderaan bersimpang siur sepanjang perjalanan.  Biasalah, mamat riders ni kalau bab cilok-cilok memang la terror.  Dalam terror tu, kadang-kadang ada juga yang kantoi kan.  So, inilah yang sebenarnya kak yus nak highlight kan.

Apabila berada di belakang suami sebagai seorang pembonceng, jujur, kak yus memang tak henti-henti mulut membaca ayat-ayat suci yang kak yus boleh hafal dan doa-doa.  Mata memang fokus 200% melihat keadaan jalan dan otak memang sangat-sangat laju bertugas meramal pergerakan kereta di hadapan.  Takut!!!!!  Riders ni yang kak yus nampak, bukanlah mereka ni suka-suka nak cilok tapi memang itu yang harus mereka lakukan kerana keadaan mereka yang semakin lama di atas jalan raya semakin besar risikonya.

Kadang-kadang, ada pemandu kereta yang mengambil side terlalu ke tepi jalan atau ada juga yang terlalu rapat dengan kereta bersebelahan.  Malah, ada juga pemandu yang tidak suka memberi signal nak masuk ke mana dan main taram je redah masuk ke lane lain sesuka hati.  Semua ini memberi risiko besar kepada riders.  Sebagai seorang pemandu (kak yus juga pemandu kereta... dan semakin memahami) betapa kita perlu berfikir dan memikirkan tentang keselamatan pengguna lain juga.  Mereka ni amat terdedah dengan bahaya.  Dah la kadang-kadang dalam hujan terpaksa redah dan basah kuyup sedangkan kita enak sahaja duduk dalam kereta dengan econd yang cukup selesa.

Kalau rider lelaki, mungkin sedikit cekap.  Tapi lady rider ... kita fahamkan sifat seorang wanita yang cepat panik apabila berlaku sesuatu di luar jangka.  Tadi pun di hadapan kak yus ada seorang lady rider.. slow aje dia bawa.  Kak yus faham, tentu sekali dia cukup berhati-hati tapi kenderaan besar-besar yang lain sikit pun tak peduli.  Lagi menyakitkan.. lorong tepi yang sepatutnya diberikan kepada riders sebagai laluan mereka turut digunakan oleh pemandu kereta semata-mata nak cepat bergerak dan tak nak sangkut dalam kesesakan yang berlaku.  Tadi pun sama.. dan ada mamat riders dua orang ni dengan berani membunyikan hon kepada semua kereta yang menggunakan laluan kecil di tepi jalan tu.  Solute la brothers ni.. berani.

Hari ini kak yus faham, apa yang selalu adinda Nuril Bahanudin katakan.  Apa yang selalu beliau omelkan. Kepada semua pemandu.. prihatinlah kepada mereka ini.  Kita kalau terlanggar sedikit .. risiko untuk parah 20-30% je.. tp motocyclists ni kalau tergesel dan terjatuh.. bukan risiko parah je, risiko untuk maut amat besar.  Lebih-lebih lagi atas jalan raya yang sibuk dengan kenderaan yang laju-laju.  Banyak kes yang kita dengar saban hari melibatkan riders.  Jangan biarkan ada anak yang menjadi yatim piatu kerana kita.  Jangan biarkan ada isteri yang menjadi balu kerana kita.

Buat isteri-isteri, mungkin juga suami-suami .. yang pasangan mereka bergelar riders, berdoalah setiap hari agar pasangan kalian dilindungi Allah saban masa.  Doakan keselamatan mereka.  Para suami, jika isteri anda menghubungi anda setiap pagi bertanya dah sampai ofis ke belum, itu bukan kerana mereka tu queen control, atau saja suka-suka nak tahu anda di mana, tapi sebenarnya mereka concern mengenai keselamatan anda, mereka hanya ingin memastikan anda selamat sampai.  Hati seorang isteri.. sentiasa tak tenang jika suaminya tiada di sisi, hatinya sentiasa berfikir jangan ada yang buruk berlaku kepada suami.

Semoga kita menjadi warga prihatin.
Ramadhan Mubarak.
Pray for Gaza.

Salam sayang...
Kak Yus.
12:42am


Wednesday 30 October 2013

CERITA HATIKU --- KALA HATI DILANDA RESAH




Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Sudah lama sungguh tidak berkongsi cerita di sini.. mungkin dah ketandusan cerita agaknya..  Nak cerita hal anak-anak, semuanya seperti biasa.. menjalani rutin harian sebagai pelajar dan kanak-kanak ribena yang tak kenal erti penat.  Apatah lagi erti kehidupan yang sebenar.


Sebenarnya, hari ni kak yus nak bercerita tentang diri sendiri, tentang sesuatu yang membuatkan diri kak yus amat terganggu hari ini.  Lebih sepuluh tahun lepas, kak yus pernah mengidap penyakit yang hampir meragut nyawa kak yus.. hampir setahun kak yus menderita sehingga satu ketika memang kak yus dah putus harap untuk terus hidup.  Satu ketika, kak yus memang tak boleh nak bangun langsung.  Ketika itu kak yus baru sahaja melahirkan anak ke-2, Iman Yasmine.  Daripada berat 87kg.. tak sampai setahun k.yus tinggal 37kg, memang kulit dan tulang sahaja.  Puas juga suami, keluarga kak yus dan keluarga suami bawa kak yus berubat merata dan akhirnya Allah Maha Kaya.. sudi pinjamkan kak yus sedikit lagi waktu untuk terus hidup dan melihat anak-anak kak yus membesar.

Selang beberapa hari selepas majlis persandingan adik kak yus, Kak Yus demam panas.  Terus kak yus dihantar ke hospital selayang, memang teruk jugalah kena marah.  Terdengar doktor tu kata, nak tunggu sampai nak mati baru nak hantar hospital.  Actually, bukan tak pernah ke hospital.. pada awal2 kak yus sakit, kak yus pernah mendapatkan rawatan di HKL, tapi apabila doktor kata nak buat sedikit ujian dgn mengambil sample arteri (mcm tu lah, dah lupa apa yg diorang nak), kak yus jadi takut.  So, alternative lain, berubat cara kampung.

Jadinya, setelah berulang keluar masuk ke hospital, bermacam2 ujian dijalankan ke atas kak yus.. akhirnya doktor sahkan kak yus mengidap Achalasia Cardial -- iaitu saluran esofagus mengejut.  Tak tahu puncanya, tapi mungkin disebabkan chronic gastritis yang kak yus hidap, serta ulcer.  Kak Yus juga disahkan mengidap Hyperthyroid.  Huh.. teruk kan.  Macam2 penyakit bertempek.

Setelah beberapa kali menjalani rawatan dialation (membesarkan saluran esofagus melalui kaedah scoop/endoscopy) alhamdulillah, semakin pulih.  Hyperthyroid pun tak adalah kronik sangat.  Life goes on macam biasa.. dan yang pasti, setelah melahirkan Aysha Safiyyah, kak yus tak lagi berurusan dengan hospital.  Terus bertahan sendiri tanpa sebarang ubat-ubatan..

Hendak dijadikan cerita.. sejak dua tahun lepas, kak yus perasan rambut kak yus semakin banyak gugur.  Tapi sedapkan hati, mungkin faktor syampu kot.  Sehinggalah baru-baru ini .. semakin banyak pula kesakitan yang datang.  Kadang2 sejuk di kala orang lain panas, kadang2 panas di kala orang lain semua sejuk.  Kaki dan tangan mula rasa kebas2, kadang2 muka pun kebas2 juga.  Lebih derita apabila tangan kanan selalu rasa lenguh hingga kadang2 rasa macam tak ada darah mengalir pun..  Jantung juga semakin laju.  Kalau penat tu jangan cakaplah... buat kerja sikit memang dah terasa sangat penatnya..

So, mulalah kak yus mencari makanan2 tambahan... nak kasi kuatkan semula sistem badan ni.. Hmm.. mungkin faktor usia juga kot.

Hari ni, seorang sahabat ajak k.yus join grup Tiroid di FB.. wah.. sesuatu yang diluar duga kak yus.  Banyak informasi dan pengalaman yang kak yus perolehi kat situ...  tapi.. info yang ini buat kak yus menangis bagai nak giler.. jom baca sikit..



KOMPLIKASI TIROID

Penghasilan hormon yang berlebihan ini sekiranya dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan beberapa komplikasi seperti:

Masalah jantung - Degupan jantung menjadi laju dan lama-kelamaan ia menjadi lemah biasanya masalah ini akan timbul dalam jangka masa antara lima hingga enam tahun apabila ia tidak dirawat

Penyakit osteoporosis - Kekurangan mineral kalsium, magnesium dan vitamin D yg akan menyebabkan tulang akan rapuh dan reput dengan mudah.


TIROID AKUT 

Pesakit tiroid yang tidak memakan ubat-ubatan boleh mengakibatkan metabolisme mereka meningkat terlalu tinggi dan menimbulkan masalah pada jantung. Pada masa yang sama, masalah tiroid yang dihidapi boleh berlaku secara mendadak sekiranya mereka mendapat serangan jantung, strok atau jangkitan.

Pesakit juga mempunyai risiko tinggi menjadi GILA (psikosis). 


PESAKIT WANITA 

Bagi wanita yang menghadapi masalah ini, mereka dinasihatkan supaya meneruskan pengambilan ubat-ubatan tiroid apabila hamil. Ini kerana sekiranya keadaan tiroid tidak terkawal, ia boleh mengakibatkan KEGUGURAN.

Kadangkala, doktor akan menggantikan ubat-ubatan yang di katakan lebih selamat dimakan. Walau bagaimanapun, masalah tiroid ini biasanya akan pulih dengan sendirinya apabila seseorang wanita itu hamil. Apa yang mengelirukan ialah simptom kehamilan dan hipertiroid sukar untuk dibezakan. Jika keadaan ini berlaku, doktor mungkin akan menghentikan ubat-ubatan tiroid.

Bagaimanapun, selepas bersalin masalah ini akan muncul semula di mana terdapat kemungkinan keadaan menjadi lebih serius. Justeru, pesakit perlu mendapat rawatan seawal mungkin iaitu sebaik-baiknya enam minggu selepas kelahiran.

Perasan tak kat ayat yang kak bold dan garis tu... ?????

Kenapa kak yus tanya macam tu.. sebab akhir2 ini (dah hampir setahun kot) kak yus rasa diri kak yus amat2 sensitif.  Mudah tersentap, mudah terasa dan kadang2 terlalu emosi.  Memang tak stabil sungguh emosi tu.  Sambil-sambil2 duduk pun kadang2 hati boleh rasa sayu yang amat sangat.  Apatah lagi jika orang-orang tersayang tersalah cakap atau tingkah.


Tak dapat kak yus bayangkan kalau perkara tu terjadi pada kak yus.  Jadi, hari ni.. kak Yus dah ambil keputusan.. biar betapa takut pun kak yus nak hadapi kebenaran, kak yus terpaksa juga kuatkan hati untuk kembali ke hospital .. jalani pemeriksaan sekali lagi dan jika perlu.. jalani rawatan lagi.  Tak kisahlah jika terpaksa menelan berbiji2 ubat lagi sekali.. demi anak2.. demi peluang ke-2 yang Allah berikan untuk kak yus..

Kepada sahabat2 kak yus yang ada di luar sana.. jangan sia-siakan hidup anda.  Hidup ini amat berharga.. untuk mereka yang tersayang dan diri kita sendiri.

Betapa jerih pun yang terpaksa kita hadapi.. itu semua sudah tertulis.

Andai masa yang dipinjamkan ini semakin hampir kepada pemiliknya, kak yus berharap dapat meninggalkan sesuatu untuk sahabat2 kak yus mengingati kehadiran kak yus.

Coretan Hati kak yus sampai di sini dulu buat ketika ini.. insyaAllah.. kita berceloteh lagi.

Sayang semua.

**Sedikit mengenai Thyroid utk bacaan kalian...





Sunday 3 March 2013

CELOTEH KAK YUS DI MALAM HARI II



Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua pembaca tersayang;

Dah lama sangat blog kecil ni bercuti, sunyi sepi dan penuh dengan sawang .. even lalang dan bunga-bunga lalang pun dah ada..err.. nasib baik pokok dedalu tak sempat nak memanjat.. hehehe 

Banyak perkara yang telah berlaku sepanjang awal tahun 2013 ni.

Perkara pertama yang Kak Yus nak cerita, opkos, tentang anak Kak Yus si Nur Salsabilla Firdaus a.k.a Bella Fird tu.  Semua sedia maklumkan dalam entry sebelum ni Bella ada apply SMISTA -- Alhamdulillah, Bella telah diterima masuk untuk menyambung pelajarannya di SMISTA - MAIWP dan syukur kerana beliau antara anak yang terpilih untuk bakal bergelar ahli tahfiz suatu hari nanti.  


(ni gambar masa hari pendaftaran.. tu baju seragam sekolah ye.. nak cari baju sekolah pun adventure juga)


Alhamdulillah sekali lagi, sehingga hari ini Bella dah hafaz juz 30, sekarang sedang menghafal juz 29 (menghafal secara menurun).  Kabarnya bulan depan akan dapat sijil untuk satu juz tu.

Ok.. mungkin ada orang yg nak muntah ijo baca cerita Kak Yus tentang anak-anak kak yus, especially tentang Bella.  Bukan hendak membanggakan diri dan anak-anak tapi Kak Yus suka share kegembiraan n sedikit ilmu jika ada bersama-sama.  Mana tahu kalau-kalau ada cara atau sesuatu yang dapat kita kongsi atau kutip daripada perjalanan hidup Kak Yus dan anak-anak ni.

Sebagai anak sulung, Bella memanglah sangat manja.  Nak berdikari sangat-sangat pun tak pandai, tapi tamat UPSR Kak Yus mula nampak kematangan dia dalam hidup.  Rata-rata bila kata anak dapat result yang bagus-bagus, ibu bapa pun mulalah belikan macam2 sebagai penghargaan kepada mereka.  Percaya tak, kalau Kak Yus kata Kak Yus dan suami tak belikan apa-apa pun untuk Bella?  Betul, memang tak ada hadiah pun.  Alasannya: Bella tak nak.  Kak Yus tanya dia Bella nak apa? Jawapan Bella, tak payah beli apa-apa ibu, duit yang ibu ada tu simpan untuk kakak nak masuk sekolah nanti.  Bukankah jawapan itu sudah menunjukkan kematangan bagi anak yang baru berusia 12 tahun?  Sangat2 menyayat hati seorang ibu dengan kematangannya tu sedangkan rakan-rakan lain dapat macam-macam hadiah, even yang dapat 4A1B pun dapat ipad bagai.  Dengan duit ganjaran pihak PIBG sekolah ditambah pula dengan duit ganjaran yang diperolehi daripada pihak tertentu, anak Kak Yus yang sorang ni beli handphone untuk dirinya sendiri.  Seposen pun tak masuk duit ibu dan ayah.

Namun, sebagai seorang ibu.. masih mahu meraikan kejayaan seorang anak so Kak Yus bawa dia hitea bersama-sama adik2nya.  Tak seronok -- sebab hitea tu sehari sebelum dia masuk asrama dan mood dia dah sedih sebab nak tinggalkan adik-adik dia.



Alhamdulillah, rezeki Bella murah lagi, baru-baru ni Bella dan 8 lagi rakan2 yang berjaya mendapat 5A telah diraikan oleh Parlimen Batu dan diberi penghargaan berupa sijil dan wang tunai.  Kat majlis tu, punya seronok tengok anak-anak yang berjaya, ramai sehingga penuh satu dewan di Stadium Titiwangsa tu.. ketika Lagu Kebangsaan dilagukan, airmata tiba-tiba menitis -- bangga kerana berada di dalam dewan itu sebagai salah seorang daripada ibu kepada anak-anak itu.


(Inilah wajah-wajah anak SK Batu Muda yang telah mengharumkan nama sekolah -- first time melakarkan nama sekolah dgn berjaya menempatkan 9 org dengan 5A -- ada 8 orang je, sorang lagi berada di Dubai)


(tak dapat ambil pic depan-depan, ramai sungguh orang kat depan tu)



(Bella & Jannah -- sahabat dunia akhirat (insyaAllah), dari kejiranan yang sama, sekolah rendah yang sama, kelas yang sama dan kini belajar di SMISTA bersama-sama --- huh, sakit pun sama-sama tau!)


Ok.. dah habis pasal Bella dan dunianya.  Doakan anak Kak Yus yang seorang ni ye...


Ni pula satu lagi kisah anak Kak Yus.. si Adib Idham .. uiiii, bukan sembarangan anak ni tau.  Sepanjang tempoh membesarkan hero yang seorang ni, macam-macam perasaan ada, sampai nak tercabut nyawa dan sakit jantung pun ada tau.. mungkin sebab dia anak lelaki seorang, maka macam-macamlah fiilnya..


(Inilah Muhamad Adib Idham dan Aysha Safiyyah)


Cerita masa masuk tahun 1, kan sebelum masuk tahun 1 tu ada exam tentukan kelas.  Sebelum exam tu Kak Yus dan suami pesanlah kat Adib, 'abang, jangan panik tau.  Abang jawab je soalan yang abang tau'.  Ok, itu nasihat standard ibu-ibu tapi kat dalam hati 'jawablah betul-betul'..hehehe...  Sudahnya, masa balik tu dia boleh tanya Kak Yus.. Ibu, M E J A tu bunyi dia meja kan.. Kak Yus kata iyalah, hmmmm... apa dia jawab, abang lupalah ibu, abang tak jawab pun.  Pekdahnya, duduk kelas ketiga.  


(posing dengan rakan-rakan sekelas)


Sepanjang tahun 2010 tu, Adib pernah dilanggar kereta di hadapan blok rumah kami ni.  Nasib baik kereta tu tak laju sangat dan tiada kecederaan fizikal yang teruk.  Hanya sedikit luka bergesel dengan jalan raya tapi hati Kak Yus yang melihat di depan mata tu dah rasa macam nak melayang nyawa.  Menjerit tak terkata.  Itu baru peristiwa pertama.

Peristiwa ke-2, sebulan sebelum final exam tahun yang sama xcident lagi, kali ni memang teruk.  Biasalah, budak tak mo dengar cakap dan nasihat orang, pandai2 pi panjat dinding bilik air konon-kononnya perasan diri tu spiderman.  Sudahnya, masa turun tu dia bersangkut kat sinki dan sinki tu jatuh pecah berderai.  Nasib baik Adib tak jatuh sama, kalau tak lagi haru.  Masa tu perasaan dia cuma takut kena marah dengan suami Kak Yus dan dia sendiri tak sedar yang betisnya dah terluka sebesar mulut orang dewasa.  Betul.. memang dalam sungguh luka dia, sehingga mengambil masa lebih enam jam di Wad Kecemasan Hospital Selayang utk jahit.  Dalam pada tu, sementara menanti doktor pakar datang, sempat dia wat tour de hospital dengan wheelchair tu kat dalam wad kecemasan tu sorang-sorang sampaikan attendances dan nurses tanya dia, adik tak sakit ke? Huhu.. memang lasak mamat ni seorang tapi dalam lasak-lasak tu masa nak jahit (lebih 20 jahitan luar dan dalam) menjerit jugak, siap kena selimut bagai.. paling tak tahan masa dia menangis kena bius, dua kali..kat kulit luar dan kat dalam luka tu.. dia sempat berjanji dengan Kak Yus .. 'Taubat ibu, abang tak buat lagi'.. dengar ajelah kan..

(ni luka k.yus dah kepitkan, tak bagi terbuka.. )


Disebabkan tu, Adib cuti sekolah sebulan dan datang ke sekolah untuk ambil final exam dengan wheelchair, glamer you.. satu sekolah femes.  


(disebabkan tu..kami semua kena berpantang..
hari-hari makan ikan tenggiri je, rasa macam baru bersalin la pulak)


Alhamdulillah.. sekarang ni dah semakin besar, dah tahun 3 pun, nakal pun masih ada tapi yang tak boleh blah masa first day buka sekolah 2013 ni, balik rumah tunjuk surat cinta kat Kak Yus.  Hadoi, kecik-kecik dah ada peminat.. siap tulis Adib, I love you lagik.. iskhhhhhhhhhhhhh memang anak ayah sungguh!!!!

Sekarang ni dia ada minat baru.. BISNES ..  huwaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa..  memang bagus minat yang satu ni tapi yang azabnya Kak Yus lah.  Apa bisnes si Adib ni? ni diaaaaaaaaaaa....




Iya.. inilah bisnes dia yang terbaru.. bisnes Sticker Nama -- seposen sekeping tau.. hmmm layan ajelah minat anak-anak ni.. moga-moga minat ni mengajar Adib sesuatu dalam hidup..

Ok.. cukuplah setakat ni Kak Yus merapu untuk malam ni, n3 seterusnya kalau ada yang minat nak mengikuti, Kak Yus akan ceritakan mengenai mini gathering Kak Yus dengan satu group di FB yang Kak Yus join.. InsyaAllah.


Mari kita sama-sama doakan semoga persengketaan dan perbalahan yang terjadi di Lahad Datu dapat diselesaikan secepatnya.  Semoga tiada lagi yang akan terkorban selepas ini.. Ya Allah, Kau lindungilah saudara-saudara kami, tak kira apa bangsa pun, tak kira apa agama pun.. berikanlah kedamaian kepada mereka semula.  Amin yra...

Sehingga kita bertemu dalam celoteh yang lain, salam penuh kasih sayang..

Kak Yus
Sekadar Meluahkan Rasa

Saturday 15 December 2012

CELOTEH KAK YUS MALAM HARI..



Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Malam ni rasa macam nak meluahkan sesuatu kat sini..  berkongsi rasa dan cerita dengan semua yang sudi lepak-lepak di blog Kak Yus yang tak seberapa ni.

Mulanya nak bercerita sedikit tentang perjalanan Bella dalam mencapai cita-citanya...huh, anak dara Kak Yus seorang tu, bukan main lagi... sejak cuti sekolah ni siang malam kerjanya dok mengadap lappy.  Facebook siang malam, korean la, hindi la.. hishhh.. sampai penat mulut ni, jangan kata berbuih-buih dah nak kembang bibir membebel. *__<

Sudahnya, Kak Yus biarkan ajelah.. yang penting perkara yang fardhu tidak ditinggalkan.  Iyalah, faham juga kan perasaan bila dah setahun stress nak memikul amanah mendapatkan result yang baik bagi empat belas mata pelajaran tu.. 

Okey.. sepanjang bulan Disember ni, dah tiga interview yang Bella pergi.. interview pertama adalah di SMISTA (Sains Tahfiz KL) pada 1 Disember 2012.  Interview yang diadakan di SMA Maiwp itu lebih kepada ujian bertulis (Saringan Pertama).  Alhamdulillah.. dua lagi sahabat Bella turut mendapat panggilan dan memang seronok sungguh anak-anak gadis bertiga ni bila dapat bertemu semula.  Ramai juga yang hadir, khabarnya dalam dua ratus enam puluh lebih orang juga.


(inilah wajah-wajah kesayangan Kak Yus tu.. )


Waktu pulang.. kedua-dua sahabat Bella, Khairun Dayana dan Nurul Jannah telah mengikut Kak Yus yang memang telah plan untuk ke Pejabat Kaki Novel pada hari itu.  Kebetulannya, hari itu juga merupakan hari Singning oleh penulis Hatiku Milikmu dan Gurauan Berkasih iaitu Eliza AB dan seorang lagi penulis Rin Ahmad, Untuk Semua Dosaku.  Bukan main seronok dan teruja lagi anak-anak gadis yang bersama Kak Yus ni apabila dikhabarkan akan bertemu dengan penulis.  First time la kiranya kan.. tapi frust sungguh.. disebabkan MRR2 yang sesak, kami sampai lewat ke KN.  Hampir jam 2.45pm, dan semua orang telah pulang.  Nasib baiklah Ayumi Syafiqah, Eliza AB dan Wan Suraya sudi menunggu Kak Yus di Wangsa Walk.  Dapat jugalah anak-anak gadis Kak Yus ni bertemu dengan novelis.


(Wan Suraya, Khairun, Eliza AB, Bella, Jannah, Iman, Ayumi Syafiqah --from left)


Interview kedua, masih lagi untuk SMISTA dan diadakan di SMISTA sendiri.  Kali ini mereka dikehendaki menghafal satu muka surat Surah daripada Al-Quran (dipilih secara spontan oleh pihak SMISTA).  Mereka diberi masa satu jam untuk menghafaz.  Selain daripada hafazan, mereka juga ditanya dengan soalan-soalan pengetahuan Am.  Alhamdulillah, untuk saringan kedua ini, ketiga-tiga anak gadis itu sekali lagi bertemu. Soalan agak mencabar tapi mereka tetap menjawab dengan tenang.

Kali ketiga, interview diadakan pada 10 Disember 2012 di SMA Maiwp.  Kali ini interview adalah untuk Sekolah-Sekolah Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (under SBP).. iaitu untuk pengambilan ke SMA Maiwp dan SMA KL.  Yang hadir kali ini seramai enam ratus orang lebih dan khabarnya pengambilan hanya 100 orang untuk setiap sekolah.  Saingan yang sangat besar.


(Khairun, Athirah, Bella)


Bella juga seharusnya menghadiri interview MRSM Ulul Albab pada 12 Disember 2012 di Gemencheh tapi tidak hadir untuk sessi itu.  Keputusan itu dibuat sendiri oleh Bella.  Sebagai ibu, terasa juga ralat kerana dia menolak peluang tetapi apabila Kak Yus berfikir secara rasional, Kak Yus ambil keputusan Bella itu sebagai yang terbaik untuk dirinya.  Kadang-kadang kita perlu juga ambil kira perasaan n fikiran anak-anak walau pun apa yang kita buat untuk kebaikan masa depan mereka.  Kena ada win-win situation.

Sekarang ni.. actually malam ni.. sedang berdebar-debar kerana sekejap lagi nak usyar di laman web moe.gov tu apakah Bella layak mendapat tempat di salah sebuah SBP.  Hmmm... beginilah perasaan seorang ibu, tak henti-henti berfikir untuk anak-anak.

Dalam sibuk menguruskan Bella, adik-adiknya tetap tidak ketinggalan.  Mungkin cuti sekolah kali ini peluang untuk berjalan-jalan tidak ada, namun aktiviti di rumah tetap banyak.  

Oleh kerana Bella membatalkan niatnya ke Gemencheh, Kak Yus dan suami membuat retour ke Melaka.  Mungkin kerana niat asal yang terpesong.. niat ke Melaka juga terpaksa dibatalkan... hehehe... tersangkut kami di tengah hiway selepas tol Senawang pada hari tersebut.  Oh..Naza Ria Kak Yus yang tersayang tu wat hal lagi.. mogok di tengah jalan.  Sudahnya.. sempatlah kami di 'towing' ke bandar Senawang.  Pengalaman pertama Kak Yus naik kereta towing tau.. huiiii... seram.

(Ini gambar pemandangan drp dlm kereta ketika di towing ke bengkel di Senawang)


(Ini pula ketika enjin kereta cuba dileraikan satu persatu... huh.. tak sempat habis ye..nyaris tertipu)


Apabila kerosakan tak dapat ditangani, sekali lagi Naza Kak Yus di'towing' pulang ke KL.  Keterujaan anak-anak untuk berjalan di Melaka padam dan lenyap begitu sahaja.  Hampir jam 12 malam kami selamat sampai ke KL dan terima kasih untuk adik ipar Kak Yus yang sudi mengambil kami di Tol Senawang.

Untuk mengurangkan rasa kecewa anak-anak, keesokkannya suami dan Kak Yus bawa mereka ke Kidzania..seharian di sana.  Oleh kerana tiket utk sesi pagi dah habis, kenalah kami menunggu untuk sesi  petang.  Sementara tu jenjalanlah di The Curve, lepak-lepak makan aiskrim dan pizza kejap..sempat juga layan karaoke satu jam dengan anak-anak--bagi peluang ayah diorang dan Aysha Safiyyah lepas perasaan.  Di Kidzania tu, anak-anak memanglah seronok tapi ibu dan ayah mereka.. huh... bosan sungguh tak ada aktiviti.  Sampai melecet-lecet kaki Kak Yus bahana sandal baru (hehehe.. sempat lagi tau shopping di Jusco Mid Valley sebelum ke Melaka tu.. ).  Lain kali kalau ke sana lagi, kitorang akan lepak di upper floor yang ada Privillege Room untuk parents tu.. tak perasan sebenarnya ada bilik tu, dah nak balik baru nampak.  Kat situ ada banyak kemudahan, cafe, ruang rehat dan internet.. fuh.. tak de la bosan sangat kan.


(sempat posing kat the Curve...)



(first mission ...jadi poslaju guys... Bella, Iman dan Aysha..hehehe)



(Adib dengan gaya fire fighternya.. hehehe panjat tp separuh jalan je.. gayat mamat tu)


 (satu lagi bakat yang dapat kak yus cungkil ada dalam anak-anak kak yus..good artists)




(nak test rasa dok dalam cell...meh la cuba)




Okey.. sekarang Kak Yus nak menyambung debaran di hati dengan mengusyar laman web moe tu.. jom..

Sehingga kita berjumpa lagi dalam celoteh yang lain ye...

Salam sayang..
Kak Yus
Sekadar Meluahkan Rasa..

Monday 19 November 2012

HARTA YG TERISTIMEWA.. KEBANGGAAN IBU & AYAH




Salam buat semua kesayangan Kak Yus..

Walah, lama sungguh tak mencoret kata-kata di laman ni, teramat sibuk dengan aktiviti anak-anak, diri sendiri dan entah apa-apa lagi.  Lebih banyak menyibuk pun iya, sehingga aktiviti menulis semakin merosot.. In Sha Allah, semoga cuti sekolah ni akan siaplah sekurang-kurangnya satu manuskrip ye.. :)

Kali ni Kak Yus nak berceloteh tentang anak-anak, HARTA TERISTIMEWA, sebuah kurniaan yang tak ternilai.. nak dapatkan seorang pun punyalah azab menanggung sembilan bulan.. hehehe..

Tahun ni, anak sulung Kak Yus, Nur Salsabilla Firdaus bt Muhamad Tajudin telah menduduki UPSR dan banyak masa Kak Yus peruntukan untuk membantu Bella n empat belas orang anak didik Kak Yus yang juga turut sama mengambil peperiksaan yang sama.  Setiap malam (kecuali malam Jumaat -- khas utk solat hajat dan yassin utk mereka) kami berkelas, mengulangkaji, membuat latih tubi dan sudah tentu aktiviti 'trouble shooting' topik-topik hardcore.

Setelah hampir setahun bertungkus lumus, akhirnya hari ini.. anak-anak Kak Yus telah pun menunjukkan hasil kerja keras mereka dengan membawa pulang keputusan yang membanggakan Kak Yus dan ibu bapa.  Mungkin ada di kalangan mereka yang tidak mencapai TARGET yang Kak Yus 'set' kan untuk mereka, mahu pun ibu bapa mereka, tapi Kak Yus cukup pasti.. mereka telah berusaha sehabis baik untuk itu.  Memang sangat-sangat bangga dengan pencapaian setiap seorang daripada mereka..  Malah, pihak sekolah dan usaha gigih guru-guru yang terlibat juga sangat membantu apatah lagi support dari segi kewangan dan moral oleh YDP PIBG yang sangat dihargai.

Alhamdulillah.. anakanda Nur Salsabilla Firdaus (Bella) membawa pulang 5As untuk ibu dan ayah, membina 'mercu jaya' yang akan menjadi panduan adik-adiknya kelak.. meletakkan satu tahap sebagai aras pengukur setiap usaha yang akan disambung oleh adik-adik .. Bangga?  Gembira?  Allah sahaja yang tahu perasaan itu.

~ slip keputusan sementara UPSR Bella ~

Dalam keadaan hati dan jiwa Kak Yus yang kurang tenang, berita ini menjadi penawar segalanya hingga terlupa seketika pada setiap masalah dan kebuntuan yang melanda.  Masya Allah, inilah yang dikatakan.. hikmah di sebalik setiap sesuatu kejadian.

Malah, sebelum itu .. Bella juga telah dinobatkan sebagai PELAJAR CEMERLANG UPKK 2011 di KAFA Ad-Diniah dan Bella juga telah mendapat 7As (+ Lulus Cemerlang --Jawi + Lulus --Khat) dalam UPSRA 2012 .. satu keputusan yang tertinggi dan dibanggakan oleh warga KAFA.

~ Ini pula keputusan UPSRA Bella ~

Alhamdulillah.. sujud syukur Kak Yus untuk anugerah yang tak terhingga ini.. Apa yang boleh Kak Yus berikan kepada Yang Maha Agung, Pencipta sekalian alam selain daripada syukur dan pujian Kak Yus untukNya.. Terlalu sedikit yang Kak Yus beri kepadaNya, tetapi terlalu banyak yang diberikan kepada Kak Yus.. terasa diri ini sangat-sangat disayangiNya.. Terima Kasih Allah..

Untuk mereka yang punya HARTA TERISTIMEWA ini, nasihat Kak Yus, janganlah sesekali abaikan mereka.  Waktu dan perhatian paling penting kita untukkan demi masa depan mereka.. Harta, duit ringgit, intan berlian.. berjuta, tidak boleh membeli kejayaan untuk mereka.. Hari ini, Kak Yus bersyukur kerana Allah memberi Kak Yus peluang untuk bersama-sama merasakan penat jerih dan kebahagiaan mereka.. TITIPKANLAH masa anda untuk anak-anak, kejayaan mereka kebanggaan kita...

Pohon Kak Yus, doakanlah Bella diterima di SMISTA agar cita-citanya untuk menjadi salah seorang daripada ahli tahfiz dapat dicapai.  Amin yra.


 ~ Anakanda Nur Salsabilla Firdaus (Bella) sewaktu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPKK 2011 baru-baru ini ~


~ Inilah wajah Nur Salsabilla Firdaus .. perintis laluan bg adik-adik, kebanggaan ibu & ayah ~

IBU & AYAH SAYANG KAKAK SELALU...


Terima Kasih untuk doa kesayangan-kesayangan Kak Yus untuk Bella.  Hanya Allah yang bisa membalasnya.


~ Sekadar Luahan Rasa ~

Yusnida Tajudin


Template by:

Free Blog Templates